GUNA INTERNET PROMOSI PELANCONGAN NEGARA
Oleh Hizral Hisham
Gambar: Sobri Sudin
Sektor pelancongan di negara ini mempunyai pertalian yang amat rapat
dengan telekomunikasi bentuk baru dalam era digital kerana ia boleh
dimanfaatkan sepenuhnya bagi tugas mempromosi produk pelancongan negara.
Menteri Kebudayaan and Pelancongan, Datuk Seri Sabbaruddin Chik,
berkata kecanggihan teknologi seperti penyampaian, rangkaian gentian
optik, satelit, penghantaran data, Internet dan laman web menjadi
wadah bagi mengerakkan industri berkenaan dengan lebih berkesan.
"Kementerian dan agensi di bawahnya turut dilengkapkan dengan
sistem pengurusan dan pentadbiran dengan kemudahan Internet, intranet
dan mel elektronik dapat melicinkan lagi kecekapan dan keberkesanan
melaksanakan tugas," katanya di Kuala Lumpur, minggu lalu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis
Kempen Siber Melawat Malaysia. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha
Kementerian, Datuk Iskandar Dzakurnain Badarudin dan Ketua Pengarah
Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Arshad Hashim.
Pengguna Internet di Malaysia dipelawa merebut peluang menyertai
kempen mencipta rekod dunia bagi penghantaran 50 juta mel dan kad
elektronik promosi pelancongan negara ke seluruh dunia mulai 4 Mac
hingga 31 Ogos.
Sekumpulan 178 sukarelawan tempatan yang menggelarkan diri mereka
Pahlawan telah memulakan Kempen Siber Melawat Malaysia bertemakan
Fikirkan Cuti, Fikirkan Malaysia melalui Internet di alamat
www.pahlawan.com.my.
Sabbaruddin berkata, matlamat 50 juta mel dan kad elektronik itu,
yang pertama seumpamanya dalam promosi pelancongan di dunia, boleh
dicapai berdasarkan terdapat 700,000 pelanggan berdaftar Internet
di Malaysia.
"Ia dijangka menigkat kepada 1.2 juta menjelang abad ke-21 yang
mana ia boleh memberikan kesan berganda terutamanya untuk membantu
mempromosikan Malaysia," katanya.
Sebelum pelancaran, kempen berkenaan sudah berjaya menyebarkan 300,000
mel dan kad elektronik oleh rakyat Malaysia kepada rakan siber mereka
di luar negara.
Kempen itu turut menawarkan pelbagai hadiah bernilai RM500,000 kepada
peserta, yang juga terbuka kepada pengguna Internet di seluruh dunia,
yang mana pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dan syarat pertandingan
melalui laman web yang disediakan.
